Bekerja Kutip Buah Di Australia, Adakah Ianya Berbaloi? - GeoffreyStephen.com

Latest

Search For Anything Tips Here (360°).

Monday, May 21, 2018

Bekerja Kutip Buah Di Australia, Adakah Ianya Berbaloi?

Kutip Buah Di Australia. Adakah anda berhasrat untuk bekerja sebagai pengutip buah-buahan di Australia? Apa yang kita semua dengar, gaji yang ditawarkan bagi sesiapa yang bekerja di negara tersebut adalah amat lumayan sekali.

Ya, sebenarnya bukan sahaja pekerjaan sebagai pengutip buah-buahan yang menawarkan gaji yang lumayan tetapi pekerjaan yang lain umpamanya pekerjaan di sektor pembinaan, perkilangan, dan bermacam lagi peluang pekerjaan yang lain memang  menawarkan pendapatan amat lumayan sekali bagi sesiapa yang berpeluang bekerja di Australia.

Persoalannya, sejauh manakah susah senangnya untuk mendapatkan pekerjaan di Australia dan apakah risiko-risiko yang perlu anda tanggung sekiranya anda memasuki negara tersebut secara illegal?

Anda agak bertuah jika terdapat majikan yang menawarkan anda pekerjaan di Australia

Mungkin disebabkan ekonomi Malaysia yang semakin teruk dan mata wang Malaysia yang tidak menentu menyebabkan, ramai individu terutama kaum muda-mudi dan tidak terkecuali juga yang telah pun berkhawin terpaksa berhijrah untuk mendapatkan pekerjaan di Australia.
Credit: FMT
Masalah utama untuk mendapatkan pekerjaan di negara tersebut adalah bagaimana mendapatkan majikan yang benar-benar sah dan memerlukan pekerja dari Malaysia untuk bekerja di ladang mereka.

Tahukah anda, ramai yang telah tertipu oleh ejen-ejen yang menawarkan pekerjaan di Australia dengan bayaran-bayaran yang agak tinggi tetapi apabila sampai di negara Australia, masalah utama yang dihadapi oleh mereka adalah masalah ketiadaan visa pekerja.

Ini menyebabkan mereka terpaksa, menjadi pelarian (pendatang tanpa izin) di negara tersebut kerana bekerja secara haram tanpa memiliki visa yang sah.

Walau begitu, memang terdapat majikan di Australia yang memerlukan pekerja dari Malaysia dan majikan ini sanggup mendapatkan visa pekerja kepada bakal pekerja mereka, tetapi kebanjiran kemasukan pekerja dari Malaysia secara illegal dan kewujudan ejen-ejen mendapatkan pekerja menyebabkan terdapat kesukaran untuk mendapatkan majikan yang benar-benar sah.

Menurut kajian sendiri penulis, sekiranya anda diterima bekerja sebagai pemetik buah di Australia umpamanya di ladang Mildura, anda akan ditawarkan gaji sehingga mencapai AUD$15 hingga AUD$20 sejam, bermakna jika ditukarkan dengan nilai ringgit Malaysia, gaji yang anda perolehi adalah sekitar RM 45 hingga RM 60 sejam.

Rata-rata pekerja akan memperolehi anggaran pendapatan  RM 1,900 seminggu atau lebih dari itu. Bagaimana, adakah anda  rasakan berbaloi? Jika dibandingkan dengan gaji yang ditawarkan di Malaysia, ianya amat jauh sekali perbezaannya.

Ini caranya rakyat Malaysia memasuki Australia dan bekerja di negara tersebut tanpa memiliki visa pekerja

Melalui kajian penulis juga, rata-rata rakyat Malaysia yang bekerja di Australia, benar-benar nekad untuk bekerja di negara tersebut disebabkan kesedaran yang kuat untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

Walau begitu, niat mereka memang betul untuk mengubah kehidupan mereka tetapi kesilapan yang terbesar yang mungkin dilakukkan oleh kebanyakan mereka adalah memasuki negara tersebut tanpa apa-apa visa pekerja atau permit pekerjaan.

Selalunya, rakyat Malaysia yang bertekad untuk bekerja di negara Australia dengan pekerjaan sebagai pemetik buah, mereka akan menghubungi rakan-rakan mereka yang sudah pun berada di Australia ataupun ejen-ejen tertentu dan mereka akan disyorkan untuk mendapatkan tiket kapal terbang pergi dan balik melalui pakej pelancongan.

Selain itu juga, mereka harus menyediakan wang saku yang mencukupi di dalam anggaran AUD$ 3000 hingga AUD$5000. Wang saku ini sebagai syarat yang penting kerana apabila anda sampai di Australia,  pihak imigresen negara tersebut akan melakukkan pemeriksaan terhadap jumlah wang saku yang anda bawa.

Pemeriksaan jumlah wang saku ini bertujuan untuk memastikan anda benar-benar datang ke negara tersebut untuk melancong sahaja. Sekiranya wang saku anda kurang seperti yang disyaratkan oleh pihak berkuasa di negara tersebut, mereka akan menahan anda di lapanga terbang dan akan menghantar anda semula ke Malaysia.

Membawa wang saku yang kurang seperti yang disyaratkan oleh pihak imigresen negara tersebut, mereka akan menganggap individu itu akan memasuki negara Australia bukan untuk melancong tetapi masuk untuk bekerja secara haram tanpa permit yang sah.

Sebabnya, telah banyak kes terjadi rakyat Malaysia yang memasuki negara tersebut melalui pakej pelancongan tetapi mereka tidak kembali ke Malaysia seperti yang ditetapkan. Ini menyebabkan kerajaan Australia menetapkan peraturan yang ketat terhadap mana-mana individu yang memasuki negara tersebut.

Bagi mereka yang memasuki Australia melalui pakej pelancongan, setibanya di airport Australia, mereka akan diambil oleh bas pelancong dan seterusnya akan dibawa ke hotel seperti di dalam pakej percutian yang ditawarkan. 

Apa yang penulis tahu, pihak imigresen akan mengawasi mereka di airport hingga bas pelancong akan mengambil mereka untuk ke hotel. Bagi rakyat Malaysia yang menggunakan cara ini untuk memasuki Australia untuk bekerja, setibanya di hotel, ejen atau rakan-rakan mereka akan datang untuk mengambil mereka dan membawa ke penginapan di ladang di kawasan pedalaman untuk mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

Bagaimana dengan pandangan anda dengan taktik ini untuk memasuki Australia? Ianya agak mencabar, betul tak?

Bagi pandangan penulis, kebanyakan dari mereka yang menggunakan cara ini sebenarnya menyusahkan diri mereka sendiri kerana mereka tidak akan tenang untuk bekerja di kawasan ladang disebabkan kerisauan ditangkap oleh pihak berkuasa.

Selalunya mereka yang mengamalkan cara ini akan bekerja seberapa lama yang boleh di negara tersebut dan apabila mereka kembali ke Malaysia, selalunya pihak berkuasa Australia akan menyenarai hitamkan status mereka dan tidak dibenarkan memasuki Australia selama-lamanya.

Penulis sebenarnya sama seperti anda, ingin mencuba untuk bekerja di Australia tetapi untuk memasuki negara tersebut, kita sekurang-kurangnya memiliki permit bekerja di negara berkenaan untuk membolehkan kita tenang untuk bekerja di Australia.

Cuba anda bayangkan dengan pendatang tanpa izin yang ada di negara kita, mereka kerap diserbu oleh pihak berkuasa di rumah-rumah kongsi, begitu juga nasib kita jika memasuki Australia secara illegal.

Apa yang pasti, bekerja di Australia memberikan anda jaminan pendapatan yang lebih baik berbanding di Malaysia disebabkan mata wang di negara tersebut lebih tinggi dengan mata wang negara kita.

Pilihan di tangan anda, penulis cuba memberikan sedikit gambaran kepada anda, mengenai risiko yang anda akan tanggung sekiranya memasuki Australia secara haram tanpa permit kerja yang sah.

No comments:

Post a Comment

Comments containing the active link, promotion, requesting a visit again, will not be displayed.