Home » » Tamu Pekan Daerah Tambunan Sabah

Tamu Pekan Daerah Tambunan Sabah

Tahukah anda di mana daerah Tambunan? Bagi anda yang masih tidak mengetahui lokasi daerah ini, Tambunan adalah daerah yang berlokasi di bahagian pedalaman Sabah berdekatan dengan daerah Keningau dan juga daerah Ranau.

Tambunan adalah satu daerah yang dikelilingi oleh banjaran-banjaran Croker dan jika diteliti dari segi geografi, daerah ini adalah satu lembah yang indah dan tidak hairanlah daerah ini dikenali sebagai ‘East of New Zeland’ oleh segilintir pelancong yang datang di daerah ini.

Melalui daerah ini juga, anda akan melihat gunung Kinabalu yang tersergam indah yang nampak jauh kelihatan di daerah Ranau pada hari ketika cuaca yang baik.

Apa yang penulis cuba sampaikan disini adalah bukanlah  mengenai sejarah atau tempat yang menarik di daerah ini tetapi mengenai keunikan Tamu Pekan Tambunan ataupun pasar tani yang mempunyai keunikan yang tersendiri disebabkan kebanyakan hasil tanaman yang dijual tidak mengandungi baja atau racun serangga perosak atau erti kata yang lain, ia adalah hasil tanaman yang segar dan bebas dari bahan kimia.

Hasil tanaman penduduk di daerah ini boleh dilihat pada setiap hari khamis di kawasan tapak ‘Tamu’ Tambunan ataupun ‘Tamu Ground’ dan kebanyakan penduduk dari pelusuk daerah ini akan datang  ke kawasan pasar tani ini untuk menjual hasil tanaman mereka dan juga datang untuk membeli-belah.
Sebagai pengetahuan anda, Tamu Pekan Tambunan telah dirasmikan oleh Menteri Sabah YAB Datuk Sri Joseph Pairin Kitingan pada 19 ogos 1988 dan tapak ini mampu bertahan sehingga kini sebagai pusat pasar tani yang amat meriah pada setiap kali diadakan bermula pada petang rabu sehinggalah hari khamis.

Di kawasan Tamu ini juga berdirinya tugu memorial lagenda pahlawan asal usul Tambunan iaitu dua arca patung yang dikenali sebagai Gombunan dan Tamadon yang menjadi symbol kebanggaan penduduk yang tinggal di daerah ini.

Jika anda berpeluang untuk melawat tamu ini, datang lah seawal pagi pada setiap hari khamis dan anda akan melihat keunikan tamu Tambunan serta  anda akan merasakan kemeriahan yang unik ketika berada di tempat ini.

Melalui tamu ini juga, bukan sahaja hasil tanaman penduduk tempatan yang mudah diperolehi disini tetapi anda akan disajikan dengan pelbagai lagi jualan yang menarik dari penjual-penjual dari daerah yang lain yang turun serta berniaga di tamu ini seperti pakaian bundle, pakaian baru, tembakau, peralatan-peralatan perhiasan diri, buku-buku, alatan elektronik, dan pelbagai lagi yang dijual dengan harga yang berpatutan.

Apabila bulan lima atau bulan mei menjelang tiba, berhampiran tapak tamu tambunan ini juga dijadikan sebagai pusat acara majlis pesta menuai ataupun ‘Tadau Kaamatan’ diadakan dengan penuh meriah sekali dan tidak hairanlah kawasan ini akan menjadi amat sesak dengan pengunjung tempatan atau pengunjung yang datang dari daerah yang lain.

Bagi penduduk yang memang berasal dari daerah Tambunan, tamu ground tidak asing lagi bagi diri mereka kerana tapak pasar tani ini lah satu-satunya tempat tumpuan penduduk yang ada di daerah ini pada setiap hari khamis selain terdapat beberapa deretan kedai yang ada di pekan kecil ini.

Kepada mereka yang telah lama tidak datang di daerah ini, anda digalakkan untuk datang semula untuk merasai kemeriahan tamu Tambunan kerana terdapat beberapa perubahan menarik yang ada di kawasan ini. Semoga artikel ini serbah sedikit menambahkan pengetahuan anda mengenai pasar tani yang popular di daerah ini.






Comments containing the active link, promotion, requesting a visit again, will not be displayed.