Home » » Negeri Sabah Bakal Pengeluar Tanaman Halia Secara Besar-Besaran?

Negeri Sabah Bakal Pengeluar Tanaman Halia Secara Besar-Besaran?

Daerah Tambunan Sabah setakat ini adalah pengeluar tanaman halia yang paling popular sekali di negeri ini hinggakan kebanyakan pembeli tanaman ini akan tertumpu di daerah ini bagi mendapatkan bekalan benih halia yang mudah diperolehi di kawasan ini.

Bukti yang mudah sekali, sekiranya anda datang seawal pagi pada hari khamis iaitu hari pasar tani di Tamu Ground  di Pekan Tambunan, anda akan melihat betapa sibuknya jual beli tanaman halia di kawasan tamu dimana benih halia dijual oleh penduduk di sekitar daerah ini kepada pembeli-pembeli dalam daerah ini sendiri atau pembeli daripada luar.

Secara umumnya semua penduduk di daerah ini ataupun penduduk luar mengetahui sebuah kampung di daerah ini iaitu Kg Tikolod Tambunan adalah pelapor awal kepada tanaman halia ini hinggakan kampung ini diikhtiraf sebagai kampung pengeluar halia yang paling maju sekali dan anda percaya atau tidak, beberapa penduduk dari kampung ini telah pun menjadi jutawan dengan hanya mengusahakan tanaman halia.
Setiap tahun pula daerah Tambunan akan meraikan perayaan Festival Bambu dan Halia yang selalunya dianjurkan pada penghujung bulan oktober dan perayaan ini akan dirasmikan oleh mantan timbalan menteri Sabah iaitu YAB Datuk Sri Joseph Pairin Kitingan. Ini secara tidak langsung, kerajaan negeri Sabah telahpun mengikhtiraf tanaman halia yang telahpun berkembang pesat penanamannya di daerah ini.

Tanaman halia di daerah ini telah menjadi sumber pendapatan lumayan sejak sekian lama oleh penduduk di sekitar daerah Tambunan dan daerah ini juga dikenali oleh kebanyakan pembeli beni halia dari Semananjung Malaysia kerana benih halia Tambunan amat berkualiti tinggi. Ini dibuktikan sekiranya anda datang di Kg Tikolod Tambunan, anda akan melihat beberapa pengusaha  di kampung ini akan mendapatkan bekalan halia untuk diekspot ke Semananjung. Hal ini berlaku beberapa tahun dulu, tetapi kini mungkin halia masih diekspot ke kawasan yang sama bagi menampung keperluan bekalan halia.

Baru-baru ini penulis telah berjumpa beberapa rakan pengusaha ladang halia di daerah ini dan rata-rata mereka mengadu, harga pasaran halia telah menurun mungkin disebabkan banyaknya bekalan halia yang mudah didapati di daerah ini dan juga bekalan dari daerah-daerah yang lain. Penduduk daerah lain seperti Kota Belud, Penampang, Keningau, dan banyak lagi daerah telahpun menanam halia sendiri di ladang mereka masing-masing dan telah pun mengeluarkan hasil tersebut. Ekoran hal ini, dalam beberapa tahun akan datang Sabah mungkin akan menjadi pengeluar Halia secara besar-besaran secara tidak rasmi?

Perkembangan berita ini mungkin satu perkara yang positif kerana akan wujudnya persaingan dalam jual beli harga pasaran halia di seluruh Sabah tetapi hal ini juga akan menyebabkan lambakan bekalan halia yang sukar terjual  dan harga pasaran halia akan mungkin menurun kecuali pasaran halia dieksport ke pasaran Asia Tenggara atau pasaran yang lebih luas di kawasan Asia dan bukan hanya ke pasaran Peninsular sahaja kerana halia tempatan Sabah mempunyai gred kualiti yang amat bagus.




Comments containing the active link, promotion, requesting a visit again, will not be displayed.