Home » » Punca Produk Sukar Terjual Di Laman Sosial Facebook

Punca Produk Sukar Terjual Di Laman Sosial Facebook

Facebook adalah antara platform laman sosial yang paling popular di dunia, pengguna bukan sahaja boleh berkomunikasi dengan rakan kenalan dengan secara dalam talian tetapi di samping itu laman sosial ini salah satu medan yang paling berpengaruh sekali  untuk memasarkan pelbagai produk seperti alat-alat kecantikan, gadget, pakaian, dan pelbagai lagi.

Hal ini dibuktikan dengan pengiklanan secara besar-besaran melalui Facebook Ads oleh syarikat-syarikat besar di negara ini seperti Lazada.com.my, Mudah.com.my, Bank-Bank, dan banyak lagi.

Punca produk Sukar terjual di laman sosial FB
Bukan sahaja kemunculan syarikat-syarikat besar untuk beriklan di laman sosial ini tetapi kehadiran individu-individu persendirian, syarikat-syarikat kecil untuk mengambil peluang yang sama untuk beriklan mengenai produk yang mereka jual.

Menjual produk melalui laman sosial ini telah menghasilkan keuntungkan  yang berlipat kali ganda terhadap produk yang sememangnya laris di pasaran, walau begitu, bukan semuanya mampu mengecapi kejayaan kerana sesetengah individu amat sukar menjual produk mereka melalui Facebook walaupun mencuba pelbagai teknik.
Dimanakah punca kesalahan sebenar yang menyebabkan produk sukar untuk terjual? Penulis menekankan terutamanya  sekali golongan individu yang menggunakan platform laman sosial sebagai medan mereka menjual produk secara sambilan atau sepenuh masa.

Penulis memahami masalah anda betapa kecewanya hati apabila produk yang kita rasakan mempunyai peluang yang tinggi untuk dijual sebenarnya sukar untuk mendapatkan pembeli seperti yang diharap-harapkan sebelum ini. Penulis cuba memberikan berapa kesalahan yang mungkin menyebabkan punca produk anda sukar terjual.

Kesalahan memasarkan produk di Facebook

1.Tidak memperkenalkan diri secara jelas
Kebanyakan penjual secara online membunuh bisnes online milik mereka sendiri secara senyap-senyap tanpa mereka sedari.

Tahukah anda, ramai penjual enggan memperkenalkan diri secara terang-terangan siapakah diri mereka di dalam laman sosial ini misalnya hanya menggunakan nama samaran, nama produk, dan ini menyebabkan pembeli enggan membeli produk tersebut kerana merasa was-was tentang latar belakang si penjual produk tersebut kerana mereka merasa takut wujudnya penipuan berkenaan produk tersebut.

Menjual produk di dalam talian adalah mengenai kejujuran, sekiranya anda memperkenalkan diri dengan jelas tentang identity anda, lokasi tempat tinggal anda dan sememangnya iklan produk yang ingin anda jual tersedia di tangan anda pembeli tanpa was-was akan membeli produk tersebut.

2. Produk terlalu mahal
Berniaga secara online harus mengambil kira berapakah harga semasa sesuatu produk tersebut di dalam pasaran dan keuntungan yang patut anda perolehi.

Sekiranya produk tersebut dijual dengan harga yang mahal, sedangkan produk tersebut boleh diperolehi dengan harga yang murah di tempat lain, amat sukar untuk mendapatkan pembeli bagi produk anda kerana pembeli di dalam talian pada masa sekarang amat bijak sebelum membeli sesuatu produk dengan melakukan carian  harga pasaran sebenar mengenai sesuatu produk yang mereka ingin beli.

Oleh itu betapa pentingnya anda mendapatkan produk dengan harga borong agar mampu bersaing dengan penjual-penjual produk yang sama di dalam talian.

3. Iklan produk yang keterlaluan
Ini adalah satu kesilapan bagi kebanyakan penjual  di dalam laman Facebook dengan tag line seperti ‘Hebat’ ‘perolehi sekarang’ ‘produk panas’, sedangkan pada dasarnya produk tersebut tidaklah sehebat mana.

Sebenarnya iklan tersebut sebenarnya membuatkan pembeli merasa bosan dan meluat dengan produk tersebut disebabkan iklan mengenai produk yang agak keterlaluan dan mereka akan mengabaikan iklan tersebut tanpa melihat dengan lebih jelas.

Anda dinasihatkan melakukan iklan mengenai produk hanya cukup dengan  penerangan jelas berserta photo yang sesuai, dan nombor talian yang boleh dihubungi sekiranya ingin mendapatkan produk tersebut. Ianya sudah memandai untuk memperkenalkan produk tersebut kepada orang ramai.

4. Produk kurang popular
Apakah produk yang anda jual di laman sosial ini? Di dalam sebulan, berapakah jumlah produk yang telah anda berjaya jual kepada individu di laman sosial?

Jika anda hanya mampu menjual hanya 1 hingga 2 produk atau yang amat menyedihkan sekali anda tidak mampu menjual sedikitpun produk  anda, ini bermakna, orang ramai memang tidak berminat tentang barangan anda kerana ianya kurang popular.

Ini adalah satu mimpi ngeri bagi anda kerana  telah menghabiskan bayak wang  modal sedangkan produk tersebut kurang mendapat sambutan oleh orang ramai.

Penulis hanya mampu menasihati supaya anda mencari produk terlaris di pasaran dan pastikan anda mendapatkan barangan tersebut dengan harga borong.

5. Mensasarkan produk melalui  ruang komen berita sensasi
Pernahkah anda melihat ruang  komen bagi berita-berita sensasi di laman sosial ini? Jika anda melihat tajuk yang panas melalui berita semasa di laman sosial ini terdapat beratus hingga beribu komen dari pembaca dan antara banyak-banyak komen pembaca, masih terdapat individu yang menggunakan peluang ini dengan meletakkan produk mereka di ruang komen tersebut.

Tahukah anda, cara ini amat sia-sia kerana anda tidak akan memperolehi pembeli melalui cara ini tetapi anda hanya akan mengundang kemarahan pembaca yang sememangnya tidak menyukai iklan produk lebih-lebih lagi diletakkan di tempat yang tidak relevan dengan topik.

6. Hanya mengharap rakan Facebook membeli produk
Berapakah jumlah rakan kenalan anda di Facebok? Jika anda hanya mempunyai kenalan kurang seribu dan mengharapkan produk akan laris terjual, tanggapan anda sebenarnya silap kerana anda juga harus mengambil kira apakah produk anda jual itu.

Jika anda menjual alatan gadget dengan harga yang amat murah, mungkin anda akan memperolehi sedikit pembeli tetapi jika anda menjual produk kecantikan, ianya amat sukar memperolehi pembeli sekiranya tanpa apa-apa testimoni mengenai kelebihan produk tersebut sebagai pengetahuan pembaca.

7. Tiada Fanpage mengenai produk
Sejauh manakah anda serius untuk menjual produk melalui Facebook? Bagi mereka yang telah berjaya dan mampu memperolehi beribu ringgit sebulan dengan laman sosial ini, mereka memiliki Fanpage yang direka sendiri melalui laman sosial dan mereka telah meminta rakan-rakan sosial untuk menyertai Fanpage tersebut disamping itu mereka telah mengeluarkan sedikit modal untuk mempromosi produk melalui Facebook Ads.

Kelebihan untuk mencipta Fanpage ini juga memudahkan anda mengupdate produk  terkini mengenai produk yang dijual. Cuba anda lihat, syarikat-syarikat besar seperti Lazada.com.my atau syarikat yang lain.

Mereka memiliki Fanpage sendiri bagi mengupdate produk terkini bagi mudah dibaca ‘follower mereka’. Ketiadaan Fanpage mengenai produk anda akan menyukaran anda sendiri untuk menjual produk kepada lebih ramai orang lagi.

8. Tidak beriklan melalui Facebook Ads
Tahukah anda apakah kelebihan Facebook Ads? Pernakah anda melihat Fanpage syarikat-syarikat besar yang memiliki beratus ribu ‘follower’?

Rahsianya disini, mereka telah menggunakan sejumlah wang modal untuk memperolehi ‘follower’ yang ramai, pihak pengurusan Facebook Ads akan mempamerkan iklan mengenai Fanpage syarikat tersebut ke pengguna Facebook yang berada di dalam talian untuk memudahkan pengguna akan menjadi pengikut kepada Page tersebut. Pengiklanan berbayar ini amat memberikan pengaruh yang besar terhadap produk tersebut kerana ia adalah satu strategi mudah untuk mendapatkan pembeli.

Anda juga boleh beriklan terus mengenai produk anda melalui cara ini dan ia mampu dilihat beribu pengguna tetapi bergantung kepada budget anda juga. Sekiranya anda tidak melalui cara ini, agak sukar untuk mendapatkan pembeli-pembeli  produk anda.

9. Beriklan produk di dalam group-group menjual barangan
Ini adalah kesilapan yang sering dilakukan oleh peniaga-peniaga laman sosial yang baru bermula memulakan perniagaan mereka di dalam talian. Mereka akan melakukan promosi barangan mereka di dalam group-group menjual barangan didalam Facebook.

Tahukah anda cara ini agak kurang relevan kerana kebanyakan pengguna aktif di dalam group tersebu hanyalah penjual-penjual produk sama seperti anda yang mengharapkan pembeli untuk membeli produk tersebut.

Ditambahi dengan iklan yang agak keterlaluan, pengguna akan mengabaikan iklan produk anda dan penulis percayai, anda akan sukar memperolehi pembeli dengan cara ini.

10. Jumlah kenalan di Facebook tidak mencapai 5000 orang
Anda memang disaran untuk beriklan produk melalui Facebook Ads tetapi anda sebagai penjual secara individu disaran juga menjual produk dengan menggunakan akaun facebook sendiri jika jumlah kenalan anda telah mencapai 5000 orang.

Apabila jumlah kenalan anda telah mencapai had maksimum yang dihadkan oleh FB, ia adalah satu platform yang agak bagus untuk memperkenalkan produk anda kepada kenalan-kenalan dalam laman sosial tersebut dengan cara yang betul tanpa iklan-iklan produk yang keterlaluan.

Cara ini serba sedikit membantu produk anda terjual, walau begitu sekiranya jumlak kenalan anda kurang dari 5000, agak sukar untuk mendapatkan ramai pembeli seperti yang diharapkan kecuali barangan tersebut sememangnya laris dan terkini.

Penutup
Menjual barangan di Facebook, memiliki potensi yang tersendiri sekiranya anda memahami sepenuhnya bagaimana laman sosial ini berfungsi. Anda boleh menggunakan kesempatan-kesempatan yang ada sebagai strategi untuk mempopularkan produk anda dan seterusnya barangan akan laris terjual.

Sekali lagi, penulis tekankan, kejujuran terhadap penjualan produk kepada pelanggan adalah senjata utama yang terpenting sekali dalam penjualan melalui media sosial ini dan kesannya anda akan dipercayai oleh pengguna seterusnya anda akan bertahan dalam tempoh yang lama.

Ini sudah tentunya kejayaan akan menanti anda sekiranya produk tersebut adalah terlaris di pasaran selain  anda sentiasa mengikuti trend semasa porduk panas. Semoga maju jaya!






Comments containing the active link, promotion, requesting a visit again, will not be displayed.