Home » » Cara Simpan Duit Dengan Kaedah Yang Benar

Cara Simpan Duit Dengan Kaedah Yang Benar

Cara Simpan Duit. Cara menyimpan duit adalah hal yang sering  menjadi pertanyaan dari kebanyakan orang kerana ramai yang berusaha untuk bagaimana menyimpan wang dengan cara yang betul.

Tahukah anda, kerana kekurangan pengetahuan dalam melakukan simpanan wang dengan cara yang tepat  menyebabkan terdapat ramai individu  amat sukar sekali untuk melakukan simpanan walau hanya sedikit pun wang dalam beberapa tahun mereka  bekerja.

Hal ini tentunya berita yang kurang baik di dalam pengurusan kewangan diri mereka dan diharap dengan adanya tips ini mampu membantu anda tentangi serba sedikit pengurusan kewangan yang betul.

Pentingnya pengurusan kewangan berhemah
Adakah setiap bulan anda sering mengalami kehabisan wang? Atau hal yang lebih teruk lagi, pada awal bulan, anda telah kehabisan wang  serta anda tidak memiliki sedikit pun wang simpanan?

Sebenarnya, hal ini bukan sahaja diri anda yang mengalaminya tetapi ramai lagi individu yang mengalami situasi yang  sama.

Bagi anda yang telah berkeluarga ia sesuatu hal yang menyedihkan kerana anda memiliki tanggungjawab yag besar terhadap keluarga anda dan kepada yang masih bujang, anda harus meninggalkan kebiasaan yang ada lakukan setiap hari yang menyebabkan kehilangan kewangan anda dengan sia-sia.
Sebelum pemahaman dengan lebih lanjut bagaimana menyimpan duit dengan cara yang tepat,  perlunya anda memahami dengan jelas mengenai aliran wang tunai anda yang anda perolehi setiap bulan.

Dimana perginya wang tunai yang anda perolehi itu? Sebagai pengetahuan anda, wang gaji yang diperolehi setiap bulan ditakrifkan sebagai pendapatan aktif dan bagi pendapatan pasif pula adalah mengenai  ‘income’ yang diketegorikan sebagai pendapatan yang tidak tetap atau pendapatan yang sentiasa berubah pada setiap bulan.

Menjejaki aliran wang tunai anda
Untuk menjejaki aliran wang tunai hasil dari gaji anda setiap bulan, anda harus melihat dan menyenaraikan semula tentang komitmen perbelanjaan yang perlu dibayar seperti, perbelanjaan tetap, perbelanjanaan berubah-ubah, dan juga perbelanjaan budi bicara.

1.Perbelanjaan tetap
Perbelanjaan tetap merangkumi bayaran yang perlu anda bayar dengan kadar bayaran yang tetap pada setiap bulan misalnya, bayaran kereta, motosikal, rumah,  atau apa-apa bayaran dengan kadar yang tetap dengan bayaran yang perlu dilakukan dengan cara yang tunai.

2. Perbelanjaan berubah-ubah
Perbelanjaan berubah-ubah bermaksud  perbelanjaan yang perlu dibayar dengan kadar yang tidak tetap misalnya bil-bil elektrik, bil air, minyak kereta, minyak motosikal, bil telefon, barangan dapur dan semua perbelanjaan anda dengan bayaran yang tidak tentu.

3. Perbelanjaan budi bicara
Perbelanjaan ini bermaksud, perbelanjaan yang perlu anda lakukan berdasarkan budi bicara anda misalnya, perbelanjaan anda untuk makan di kedai, perbelanjaan sekiranya keluarga atau kawan-kawan datang melawat  di rumah anda, perbelanjaan keperluan pakaian, atau apa-apa perbelanjaan yang memerlukan anda harus perlu fikirkan terlebih dahulu untuk mengeluarkan wang anda.

Dalam hal yang dinyatakan tersebut, menjejaki aliran wang tunai akan dapat diketahui dengan jelas sekiranya anda mengketegorikan jumlah bayaran tunai hasil dari gaji anda berdasarkan kategori-kategori perbelanjaan tersebut.

Wang yang masuk hasil dari pendapatan anda serta wang yang keluar pula dapat dipantau dengan teliti, ia akan menghasilkan lebihan wang dan lebihan ini lah yang anda pertaruhkan sebagai aset simpanan anda, tetapi bagi wang yang banyak keluar sebelum wang masuk ke dalam diri seseorang, akan menghasilkan defisit.

Hal ini amat tidak baik di dalam belanjawan anda kerana anda berbelanja lebih dari pendapatan anda.

Mengikut pakar-pakar belanjawan dari bank negara, seseorang itu harus  membahagikan pendapatan yang diterima setiap bulan dengan kadar wang yang perlu disimpan adalah di dalam anggaran 10% dari pendapatan atau gaji yang diterimanya, manakala bagi bayaran hutang pula, seseorang itu harus melakukan bayaran hutang  tidak lebih dari 40% dari pendapatannya dan bagi perbelanjaan kos sara hidup pula, seseorang itu harus menggunakan 50% hasil  dari pendapatannya.

Formula pengurusan perbelanjaan

a) Simpanan 10%

b) Hutang 40%

c) Kos sara hidup 50%

Kelebihan membuat bajet kewangan persendirian
Untuk menyimpan duit, anda perlu melakukan bajet kewangan persendirian anda terlebih dahulu kerana terdapat banyak manfaat yang anda akan perolehinya nanti. Anda sebenarnya secara tidak langsung menjadi  seorang yang pakar mengenai  menyimpan wang kerana ia akan mampu menguruskan  segala hal-hal perbelanjaan diri anda serta keluarga anda dengan pengurusan kewangan yang  profesional.

Menabunglah sebelum berbelanja
Walau berapapun pendapatan yang anda perolehi setiap bulan, anda amat disaran untuk melakukan simpanan wang sebelum  anda berbelanja, misalnya setiap kali anda memperolehi  gaji, simpanlah sebanyak 10% atau lebih hasil dari gaji anda kerana langkah ini membolehkan anda masih mempunyai simpanan dan jangan sesekali mengusik simpanan tersebut sekiranya bukan hal-hal yang penting.

Gagahkan diri untuk mencapai matlamat kewangan
Tanya diri anda sendiri, di dalam beberapa tahun yang akan datang, berapakah jumlah simpanan yang mampu anda simpan? Sekiranya pada hari ini, anda tidak memiliki sedikit pun wang untuk disimpan pada setiap bulan, bermula pada hari ini, kaji semula aliran wang tunai anda, lakukan simpanan dan berusaha untuk mendorong diri anda untuk mencapai matlamat kewangan diri anda di dalam jangkan waktu yang anda tetapkan.

Menjadikan menabung adalah sebagai satu cabaran positif
Tidak dinafikan amat sukar untuk menyimpan wang pada zaman masa kini lebih-lebih lagi kehidupan pada zaman sekarang  semua orang ketahui  kos sara hidup yang amat tinggi sekali, walau begitu, berusaha lah untuk mendorong diri anda sendiri untuk menjadikan menabung sebagai satu cabaran yang positif.

Sekiranya keadaan yang benar-benar tidak mengizinkan untuk menyimpan wang, anda masih dibenarkan untuk menyimpan kurang dari 10% dari pendapatan anda tetapi apabila keadaan kewangan anda semakin kukuh, lebihkan simpanan anda ke 10% atau lebih daripada itu.

Pendapatan ‘Durian runtuh’
Kadang-kadang terdapatnya pendapatan yang tidak dijangka yang anda perolehi secara tiba-tiba misalnya mungkin anda memperolehi tiket bertuah dari anjuran tertentu yang menghadiahkan anda sejumlah wang, bonus hasil jualan anda, atau apa-apa sumber kewangan yang bukan hasil dari pendapatan tetap anda.

 ‘Durian runtuh’ ini anda harus simpan dan bukannya perlu dihabiskan untuk berbelanja. Sesetengah individu apabila memperolehi hadiah wang yang tidak dijangka, mereka akan menghabiskan wang tersebut untuk berbelanja. Hal ini lebih baik sekiranya anda untuk menyimpan wang tersebut sebagai simpanan anda.

Menabunglah sewal yang boleh
Sejak dari zaman kanak-kanak, anda telah diajar untuk menabung bukan sahaja melalui ibubapa anda tetapi melalui guru-guru anda pada zaman bangku sekolah.

Begitu juga apabila anda memasuki alam pekerjaan, sekiranya boleh seawal pendapatan pertama anda, bermula lah untuk menabung kerana ia akan mempengaruhi segala kehidupan anda di masa yang akan datang jika anda menabung setiap bulan.

Bayangkan sekiranya anda mempunyai gaji sebanyak RM 5000 setiap bulan dan menyimpan sebanyak 10% sebulan atau di dalam anggaran RM500 selama 10 tahun,  anda mampu menyimpan sebanyak RM 60,000.

Simpan sebanyak 10% hingga 30% dari jumlah pendapatan
Mengikut kaedah formula penyimpanan wang, anda dinasihatkan untuk menyimpan sebanyak 10% dari jumlah pendapatan anda, walau begitu sekiranya anda memiliki pendapatan yang lebih, anda disaran untuk menyimpan sebanyak 10% hingga 30% dari pendapatan yang anda terima setiap bulan.

Bagi anda yang mempunyai komitmen yang rendah di dalam perbelanjaan setiap bulan, misalnya gaji yang diterima setiap bulan berjumlah RM 5000, jika anda menyimpan wang sebanyak 30%, jumlah yang perlu anda simpan adalah  berjumlah RM 1500 pada setiap bulan.

Simpan secara automatik
Bagi anda yang amat sukar untuk menyimpan wang, idea untuk melakukan simpanan secara automatik ke akaun simpanan anda adalah satu idea yang bernas.

Pada masa ini simpanan yang amat popular sekali adalah melalui loan ASB (Amanah Saham Berhad), pinjaman ini bukan diketegorikan sebagai pinjaman peribadi tetapi anda lebih kepada untuk menyimpan wang yang mana, apabila sampai ke satu tahap matang, anda boleh mengeluarkan wang tersebut.

Antara kelebihan yang lain pula, anda akan memperolehi bonus pelaburan sebanyak 7% hingga yang tertinggi yang pernah direkodkan sebanyak 13% setahun.

Pentingnya menyimpan duit untuk keperluan kecemasan
Selain menabung untuk mencapai matlamat kewangan yang kukuh, menyimpan wang juga penting untuk mengambil kira sekiranya berlakunya situasi-situasi kecemasan yang tidak dijangka yang memerlukan bantuan sokongan kewangan tambahan. Antara persediaan kecemasan yang perlu anda ambil perhatian adalah,

1. Kehilangan pekerjaan
Jangan menanggap anda akan kekal selamanya dengan pekerjaan yang ada sekarang, walaupun anda mampu bertahan dengan pekerjaan anda, anda juga harus memikirkan apa yang berlaku sekiranya kehilangan pekerjaan.

Dengan menabung, anda masih mempunyai sumber kewangan semantara mencari pekerjaan yang baru.

2. Bencana Alam
Di dalam keadaan tertentu yang tidak dijangkakan, mungkin anda berhadapan dengan situasi bencana alam misalnya terjandinya banjir besar yang memusnahkan keseluruhan apa yang anda miliki seperti rumah, kereta, dan semua harta benda di dalam rumah.

Di negara Malaysia, bencana alam terutama sekali banjir kerap berlaku semasa musim tengkujuh, banjir terburuk dalam sejarah negara ini berlaku di negeri Kelantan pada tahun 2005 yang menyaksikan banyak harta benda negeri berkenaan telah musnah.

3. Perubatan
Setiap manusia mengimpikan akan sihat sepanjang hayat, walau begitu apabila penyakit menyerang, ia tidak mengenal sesiapa. Sekiranya perkara ini mungkin terjadi kepada diri anda atau ahli keluarga yang lain yang memerlukan bantuan dari segi kewangan, anda telah pun bersedia untuk berhadapan situasi ini dari segi kewangan.

Tahukah anda, ramai individu yang telah kehilangan nyawa disebabkan ketidakmampuan untuk menangung kos rawatan perubatan.

4. Membaiki kerosakan
Pernahkah anda mengalami kerosakan kereta? Atau Kerosakan seperti alat elektrik di rumah misalnya mesin basuh, peti ais, TV, penyaman udara, atau apa-apa kerosakan yang memerlukan  anda untuk membaiki segera kerosakan tersebut.

Dengan menabung wang, hal ini boleh diatasi dengan baik kerana anda memiliki simpanan wang yang cukup. Bagi mereka yang tidak memiliki simpanan wang langsung, kerosakan yang patut dibaiki segera terpaksa ditanguhkan untuk dibaiki sementara menunggu kewangan yang stabil.

5. Kematian
Semua orang tidak menyukai berita tentang kematian, walau begitu inilah hakikat kehidupan kita, yang hidup tetap akan pergi. Bukan sahaja berita kematian ahli keluarga anda tetapi mungkin kematian saudara mara terdekat, sahabat handai yang memerlukan untuk anda untuk menghadiri upacara tersebut.

Hal ini memerlukan kewangan dengan segera, sekiranya ada sendiri menghadapi masalah kewangan, perkara ini sudah tentunya akan memberi kesulitan kepada anda.

Renungan mengenai kewangan persendirian
Beberapa pakar kewangan mengatakan, apa yang anda miliki seperti rumah, kereta dan sebagainya adalah aset bagi anda, manakala tanggunggan hutang oleh anda dikenali sebagai liabiliti.

Sekiranya anda menjadikan semua pendapatan anda adalah satu aset yang berharga walaupun diselangi dengan liabiliti, ia adalah satu perkara yang positif.

Tetapi sekiranya anda menjadikan liabiliti itu diselangi dengan aset, ia adalah satu perkara yang negative  yang menjadikan sistem pengurusan kewangan anda akan bermasalah.

Cara meningkatkan kedudukan simpanan bersih
Untuk meningkatkan kedudukan simpanan bersih, anda disarankan untuk menambahkan jumlah wang yang anda simpan pada setiap bulan di tabungan anda.

Misalnya sebelum ini anda hanya melakukan simpanan wang  sebanyak 10% ke tabungan anda tetapi apabila anda merasakan kedudukan kewangan anda telah semakin kukuh, anda telah menambahkan simpanan wang ke bank sebanyak 20% hingga 30%.

Menambahkan jumlah simpanan mampu mencapai matlamat simpanan bersih dengan tempoh yang singkat.

Selain itu, salah satu cara untuk merealisasikan matlamat penambahan kedudukan simpanan yang bersih adalah dengan mengurangkan segala kos perbelanjaan seharian dan kos perbelanjaan bulanan keseluruhannya.

Misalnya kos bagi perbelanjaan barangan basah untuk keluarga anda pada setiap bulan adalah berjumlah RM600, apabila anda melakukan penelitian peruntukan kos tersebut masih mampu dikurangkan dengan mengurangkan pembelian barangan yang tidak perlu, anda telah berjaya mengurangkan kos perbelanjaan barangan basah hanya tinggal sebanyak  RM 400 sebulan.

Ini bermakna RM 200 lagi anda boleh tambahkan ke simpanan anda.

Elakkan melakukan pinjaman kewangan
Kesilapan  yang  sering  dilakukan oleh ramai orang adalah berkenaan dengan pinjaman kewangan yang dilakukan di bank-bank atau pinjaman wang berlesen.

Mereka melakukan pinjaman kewangan dengan tujuan yang kurang tepat seperti membuat pinjaman dengan tujuan peribadi seperti  melakukan pembelian telefon pintar, laptop, motosikal, kereta, berhibur, membeli pakaian, perabot, dan sebagainya tanpa adanya pulangan hasil dari pinjaman tersebut menyebabkan mereka terpaksa menanggung bebanan hutang pinjaman di dalam tempoh yang lama.

Membuat pinjaman kewangan sebenarnya tidaklah dilarang sama sekali tetapi terdapatnya beberapa peraturan dan disiplin yang perlu diikuti untuk menjadikan ianya selaras dengan matlamat yang jelas.

Peraturan yang perlu diikuti sebelum melakukan pinjaman
1. Sebelum seseorang itu berkira-kira untuk melakukan pinjaman kewangan, adalah perlu memikirkan apakah tujuan anda untuk melakukan pinjaman.

Anda harus memastikan pinjaman yang dilakukan haruslah untuk tujuan produktif sahaja misalnya anda melakukan pinjaman kewangan untuk membeli tanah, memulakan perniagaan yang berpotensi, pinjaman ASB, pembelian jongkong atau syiling emas untuk pelaburan jangka panjang, pembelian rumah, dan apa-apa tujuan yang memang dijangka dengan yakin terdapat pulangan yang menguntungkan di masa akan datang.

2. Pastikan sebelum anda melakukan pinjaman kewangan, pendapatan atau gaji anda mencukupi dan hal yang paling penting sekali, anda memang berkemampuan untuk melakukan pinjaman tersebut setelah anda mengambil kira kos-kos peribadi yang perlu ditanggung setiap bulan.

Kebanyakan individu yang melakukan pinjaman sebenarnya tidak berkemampuan untuk menanggung kos perbelanjaan bulanannya setelah melakukan pinjaman disebabkan gaji atau pendapatan telah mengecil akibat potongan pinjaman tersebut dan mereka terpaksa menggunakan wang pinjaman tersebut untuk memenuhi keperluan mereka dan wang tersebut akan habis dengan tanpa apa-apa pulangan yang menguntungkan.

3. Bagi individu yang benar-benar ingin melakukan pinjaman kewangan disebabkan adanya tanggungjawab moral yang perlu dilaksanakan misalnya keadaan kewangan yang amat memerlukan disebabkan kos rawatan perubatan, kos pengajian diri sendiri atau ahli keluarga.

Disebabkan tanggungjawab moral ini anda memang disaran untuk melakukan pinjaman kewangan tetapi pastikan ianya mendapat persetujuan dari ahli keluarga yang lain dan keputusan ini harus juga diambil kira mengenai kemampuan kewangan.

Pemahaman mengenai sumber pinjaman  kewangan
Di negara ini terdapat banyak sumber pinjaman kewangan, walau begitu perlunya anda memahami kategori-kategori sumber pemberi pinjaman kewangan kepada anda dan anda harus berhati-hati sebelum melakukan pinjaman terutamanya pinjaman wang  yang mempunyai kadar faedah yang tinggi kerana ia secara tidak langsung akan memberi kesan yang amat tidak baik kepada system kewangan anda.

Berikut adalah sumber kewangan yang terdapat di negara ini.

1. Institusi kewangan berlesen
Sumber pinjaman ini terdiri dari bank-bank yang sememangnya berdaftar dengan Bank Negara seperti Bank Rakyat, Maybank, Public Bank, Bank Islam, RHB Bank, Bank Muamalat, Agro Bank, Cimb Bank, Hong Leong Bank, Am Bank, dan banyak lagi. Bank-bank ini kebanyakannya memberikan pinjaman kewangan kepada semua individu yang layak untuk melakukan pinjaman.

2. Pinjaman Kewangan Koperasi
Koperasi adalah satu pertubuhan yang mana ia menjalankan satu perniagaan untuk meningkatkan ekonomi dan pemberian-pemberian dividen kepada setiap anggota atau ahli apabila memperolehi keuntungan hasil dari perniagaan.

Koperasi ini juga memberikan pinjaman kewangan kepada sesiapa sahaja yang layak, walaupun koperasi tidak berdaftar dengan Bank Negara tetapi koperasi tertakluk kepada Akta 502 (Akta Koperasi 1993) Malaysia.

3. Pinjaman berlesen
Pinjaman berlesen adalah satu syarikat yang memperolehi kelulusan lesen pemberian pinjaman kewangan daripada Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan syarikat ini tertakluk kepada Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400).

4. Pinjaman wang tidak berlesen
Pemberi pinjaman wang tidak berlesen adalah satu syarikat yang memberikan pinjaman wang tanpa memiliki lesen yang sah dan tidak berdaftar dengan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Syarikat pemberi pinjaman ini selalunya dikenali sebagai ‘ah long’ atau ‘ceti haram’ yang memberikan kadar faedah yang amat tinggi serta akan memberi ugutan sekiranya kadar pinjaman tidak dibayar semula. 
Memahami kedudukan kewangan anda berdasarkan pengiraan (Nisbah hutang kepada pendapatan)
Ini adalah fakta paling penting sekali bagaimana untuk mengenal pasti kedudukan kewangan seseorang berdasarka logik  pengiraan dan dengan kaedah ini seseorang akan  mengetahui nisbah hutang mereka sama ada ia telah melebihi peratusan yang disyorkan atau sebaliknya.

Mengikut logik matematik, nisbah hutang seseorang tidak boleh melebihi 40% daripada keseluruhan sumber pendapatannya, sekiranya ianya telah melebihi 40%, seseorang itu harus mengkaji semula aliran tunai  setiap bulan perbelanjaan mereka kerana keadaan kedudukan kewangan mereka  itu diyakini kritikal.

Formula pengiraan nisbah hutang kepada pendapatan
Jumlah hutang  ÷ Jumlah pendapatan kasar ×100 = Jumlah nisbah peratus (%)

Contoh :

1.Pendapatan kasar Encik Yakob setiap bulan adalah berjumlah RM 3800

2. Bayaran pinjaman rumah, kereta, pinjaman kewangan, atau apa-apa bayaran tetap dan tidak berubah termasuk potongan dalam slip gaji dan juga bayaran tunai, berjumlah sebanyak RM 2128.

3. Jumlah bayaran keseluruhan hutang Encik Yakob, RM 2128

Pengiraan
2128 ÷ 3800 × 100 = 56%

Nisbah hutang Encik Yakob telah melebihi 40% iaitu sebanyak 56%, ini bermakna En Yakob harus mengkaji semula aliran tunai perbelanjaannya. Mengikut senario ini, pendapatan bersih En Yakob berbaki  RM1672 setelah ditolak hutang-hutang yang lain tetapi bayaran bil-bil api dan air, telefon, dan bayaran-bayaran yang lain masih belum ditolak kerana kadar bayaran yang tidak tetap.

Mengikut formula ini, situasi kewangan En Yakob agak kritikal dan harus mengkaji semula dimana perginya penggunaan wang pendapatannya serta harus mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu.

Elakkan menjadi seorang penjamin pinjaman kewangan atau penjamin sewa beli kenderaan
Selain dari cara untuk menyimpan wang yang dinyatakan sebelum ini, anda juga harus memberi perhatian di dalam hal menjadi penjamin pinjaman kewangan kepada seseorang atau menjadi penjamin kepada sewa beli kenderaan kerana ia mempunyai risiko yang tinggi.

Terdapat beberapa rakan penulis terpaksa melakukan bayaran semula pinjaman kewangan di sebuah institusi kewangan kerana telah menjadi penjamin kepada sahabat mereka dan malangnya sahabatnya telah diberhentikan kerja atas sebab yang tidak dielakkan, ini menyebabkan rakan penulis menanggung kesemua kos pinjaman tersebut yang ditolak melalui gajinya.

Didalam prosuder ini, risiko untuk menjamin seseorang di dalam pinjaman kewangan  atau sewa beli kenderaan harus dipertanggungjawabkan kepada siapa yang menjadi penjamin kepada si peminjam berdasarkan perjanjian yang ditandatangani dengan secara sah mengikut undang-undang.

Oleh itu sebelum terdapat rakan atau ahli keluarga sendiri meminta bantuan anda untuk menjadi penjamin kepada pinjaman kewangan atau sewa beli kenderaan, anda harus memikirkan terlebih dahulu risiko tersebut dan sekiranya boleh, elakkan dari menjadi penjamin.

Sekiranya menjadi penjamin di dalam pinjaman kewangan untuk tujuan yang produktif atau jaminan tersebut akan memberi peluang untuk mendatangkan keuntungan kepada anda atau keuntungan bersama untuk menjayakan sesuatu projek perniagaan yang diyakini mendatangkan keuntungan yang lumayan, anda masih boleh menjadi penjamin tetapi harus difikirkan dengan semasak-masaknya.

Hal yang paling teruk berlaku adalah menjadi penjamin kepada seseorang dalam pinjaman kewangan yang tidak berlesen seperit ‘ceti haram’ atau ‘ah long’ yang mengenakan kadar faedah yang tidak masuk akal.

Berhati-hati dengan penggunaan kad kredit
Setiap individu tidak lari dari penggunaan kad kredit kerana terdapat pelbagai kebaikan penggunaan kad ini, walau begitu anda juga harus berhati-hati untuk menggunakan kad kredit ini kerana sekiranya anda tidak menggunakan dengan cara yang betul, anda akan terjebak dengan masalah kewangan yang berpanjangan dan hal yang paling teruk sekali anda diistihar sebagai muflis disebabkan keberhutangan kad kredit dalam jumlah yang bayak.

Perkaran ini memberi dampak yang buruk di dalam hal anda untuk menyimpan duit. Sekiranya anda ingin mengetahui cara yang bijak penggunak kad kredit, baca artikel penting  ini
Tahukah anda, caj kad kredit untuk setahun boleh mencapai sehingga 17.5%?

Dengan kadar faedah yang amat tinggi ini, anda disaran untuk berhati-hati dengan kad kredit kerana terdapat ramai individu yang telah terperangkap dalam hutang kad ini kerana lewat melakukan bayaran, tidak melakukan bayaran minima, pemilikan kad kredit yang terlalu banyak, dan hal ini menyebabkan dikenakan penaliti caj atas caj yang amat tinggi dan menyebabkan seseorang itu boleh tersungkur jatuh dengan masalah kewangan walaupun memiliki pendapatan yang lumayan.

Penutup
Menyimpan wang tidaklah sesukar yang disangka jika seseorang itu memiliki disiplin yang tinggi dalam pengurusan kewangannya.

Tips yang paling penting, elakkan sekali untuk berhutang melebihi kemampuan kewangan anda dan jadikan kesemua yang anda miliki adalah aset penting sebagai pelaburan yang menguntungkan serta elakkan atau hindari juga didalam pinjaman kewangan yang sememangnya boleh memerangkap anda.

Tips ini adalah berdasarkan pemahaman penulis hasil dari mengikuti ceramah-ceramah pengurusan kewangan dari pihak bertauliah dan diharap selepas  anda membaca artikel ini, ia dapat membuka minda anda bagaimana menguruskan kewangan anda dengan lebih baik.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Comments containing the active link, promotion, requesting a visit again, will not be displayed.