Home » » Rumah Untuk Disewa Di Pulau Labuan Terlalu Mahal?

Rumah Untuk Disewa Di Pulau Labuan Terlalu Mahal?

Penulis tertarik untuk menulis mengenai rumah sewa di Labuan yang mana telah menjadi rungutan bagi kebanyakan penduduk yang berhijrah di pulau ini untuk mendapatkan pekerjaan kerana kadar sewa yang terlalu mahal.

Benarkah kenyataan ini? Penulis menetap di pulau Labuan pada tahun 2012 dan sebelum ini menetap di negeri pantai timur Semenanjung dalam anggaran sepuluh tahun.

Sebelum berhijrah di Labuan, penulis cuba melakukan carian di internet mengenai kadar rumah sewa di pulau ini. Apa yang penulis dapati kadar sewa bulanan rumah pada tahun 2012 di kawasan blok M perumahan Mutiara  telah berharga RM 7,00 sebulan.

Keluasan rumah bagi perumahan blok ini memiliki tiga bilik, dua tandas dan satu bilik stor. Manakala perumahan Mutiara bagi Blok L pula, keluasan rumah ini agak sempit sedikit dan kadar sewa pada masa itu dalam anggaran RM 6,00 hingga RM 7,00 sebulan.

Bagi rumah sewa di kawasan perumahan rumah teres yang baru dibina, anggaran sewa yang dikenakan dalam anggaran RM1,500 keatas dan rumah teres semi  D pula, ianya dalam anggaran RM 1,800 hingga RM2,500. Bagi rumah banglow pula, kadar sewa yang dikenakan dalam anggaran RM 5,000 keatas. Pada masa itu penulis telah merasakan kadar rumah sewa di pulau ini agak mahal berbanding dengan negeri-negeri lain.
Gambar Hiasan
Setiap tahun, kadar sewa rumah di pulau ini meningkat dan pada tahun 2016 di kawasan perumahan Taman mutiara bagi Blok M sahaja, kadar sewa dalam anggaran RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.

Kebanyakan perumahan dan apartment di kawasan pulau ini dimiliki oleh individu persendirian dan mereka telah menaikkan kadar sewa rumah tanpa kawalan  kerana permintaan rumah sewa yang tinggi  dari pekerja cari gali (offshore) di pulau ini ditambahi pula dengan kediaman yang terhad.

Kerana kediaman di pulau ini agak terhad, orang ramai terpaksa  menyewa rumah di pulau ini walaupun dikenakan kadar sewaan yang mahal. Sebenarnya masih terdapat rumah yang agak murah di pulau ini iaitu dimiliki dan dikawal selia oleh pihak Perbadanan Labuan tetapi ianya mengikut pengiliran.

Apa yang penulis dapati, rumah-rumah sewa yang disewakan oleh penduduk di kawasan-kawasan kampung di sekitar pulau ini agak murah berbanding dengan kawasan taman perumahan tetapi rumah yang disewakan amat sukar untuk diperolehi kerana hanya golongan-golongan yang tertentu sahaja yang mengetahui rumah untuk disewakan di kawasan ini.

Bagi anda yang berkira-kira untuk menetap di pulau ini anda mesti memerlukan persediaan kewangan yang mencukupi bagi kehidupan di pulau ini serta mengambil kira bayaran sewa bulanan rumah anda.






Comments containing the active link, promotion, requesting a visit again, will not be displayed.