Home » » Misteri Cicak Ekor Bercabang Dua

Misteri Cicak Ekor Bercabang Dua

Cicak ekor bercabang adalah satu fenomena haiwan yang  jarang-jarang dilihat dan hanya orang-orang tertentu sahaja yang berjaya menjumpai cicak rumah yang memiliki ekor bercabang dua. Dikatakan menurut kepercayaan setempat, bagi mereka yang berjaya memiliki ekor cicak bercabang akan memperolehi nasib yang baik.

Di Malaysia, terdapat golongan-golongan tertentu yang mempercayai kehebatan ekor cicak bercabang yang memiliki unsur-unsur mistik yang tersendiri bagi si pemakai hinggakan terdapat ekor cicak ini dijual dengan harga ribuan ringgit. Penulis cuba merungkai sejauh manakah kepercayaan mereka terhadap misteri ini.

Misteri cicak ekor bercabang dua
Saya telah mengenali ramai kaum di Malaysia dan terdapat golongan yang  mengatakan bagi sesiapa yang menjumpai ekor cicak bercabang dua ini akan memperolehi nasib yang baik di dalam permainan yang berisiko seperti dalam perjudian dan pelaburan hartanah atau wang.  Walau begitu kononya terdapat beberapa syarat bagi membolehkan ekor cicak ini memiliki mistik dan keampuhan dalanm nasib yang baik kepada seseorang.
Saya memiliki beberapa rakan mendakwa arif mengenai misteri ekor cicak ini dan mereka mengatakan bagi menjaga keampuhan mistik ekor ekor cicak bercabang, anda haruslah menjumpai cicak yang memiliki ekor bercabang dengan hanya bersendirian tanpa sesiapa yang melihat selain anda sendiri pada saat itu. Ini kerana sekiranya pada masa yang sama terdapat orang lain yang melihat bersama-sama dengan anda  cicak yang memiliki ekor bercabang dua, dikatakan unsur mistik dan unsur tuah pada ekor cicak tersebut  tidak akan berkesan lagi.

Sekiranya pada masa itu hanya anda seorang sahaja yang melihat seekor cicak yang memiliki cabang di ekor, anda harus menangkap cicak tersebut tanpa mencederahkan haiwan tersebut. Apabila anda berjaya menangkap cicak itu, pangkal  ekor yang bercabang dua harus dipotong dan pada masa yang sama anda memasang hajat di dalam hati mengenai nasib yang baik. Apabila selesai, dikatakan anda harus melepaskan semula cicak itu dalam keadan hidup.

Untuk menjadikan ekor cicak tersebut kekal dan tahan lama dalam simpanan anda, anda harus mengeringkan ekor itu di dalam panas matahari yang terik sehingga ekor tersebut benar-benar kering. Apabila ianya telah kering, simpanlah ekor itu di tempat yang sesuai dan harus dibawa dimana-mana sahaja anda pergi. Beberapa rakan saya yang lain mengatakan perlunya ritual-ritual yang tertentu bagi mengaktifkan unsur mistik keatas ekor cicak tersebut dan harus merahsiakan adanya memiliki ekor cicak bercabang kepada sesiapa pun bagi menjaga keampuhan mistik tersebut.

Kawan saya saya juga mendakwa, sekiranya seseorang yang memiliki ekor cicak bercabang dan digunakan semasa didalam perjudian, pada awal permainan ia akan mengalami kekalahan tetapi akan memperoleh kemenangan besar didalam permainan apabila ianya menyeru mistik dari ekor cicak tersebut hinggakan kedengaran cicak berbunyi di sekitar tempat permainan judi tersebut.

Beberapa tahun yang lepas, saya mempunyai kenalan yang memiliki ekor cicak bercabang yang diletakkan di bahagian rantai lehernya. Kenalan saya ini memang kuat bermain judi dan dia sendiri mendakwa nasibnya agak baik semasa dalam permainan tersebut. Pada tahun 2014, seorang kawan saya ingin menjual seekor cicak yang memiliki dua ekor cabang yang telah dikeringkan dan ditempatkan di sebuah bekas kecil  dan ingin menjual dengan harga RM1,500 tetapi saya tidak membelinya.

Artikel ini ditulis berdasarkan pengetahuan dan sebagai sajian kepada pembaca sahaja,  saya juga tidak menjamin keberkesanan mistik ekor cicak ini kerana saya sendiri  tidak pernah memiliki dan mencubanya sendiri  tetapi hanya mendengar daripada rakan-rakan yang mendakwa tahu mengenai  mistik ekor cicak bercabang.




1 comments:

Apa ritual yang perlu kita buat?

Comments containing the active link, promotion, requesting a visit again, will not be displayed.