Home » » Misteri Hantu Penanggal

Misteri Hantu Penanggal

Di asia tenggara terutama sekali di Malaysia dan Indonesia  amat terkenal dengan cerita-cerita mengenai hantu mengikut penceritaan masyarakat hinggakan cerita tersebut menjadi bualan sehingga kini.

Cerita yang agak terkenal adalah mengenai misteri hantu penanggal atau hantu penanggalan dimana hantu jenis ini akan terbang berkeliaran pada waktu malam dengan hanya kepala tanpa tubuh badan untuk mencari mangsa terutama perempuan yang mengandung, perempuan yang baru melahirkan anak atau mencari perempuan yang datang bulan atau datang haid.

Kajian mengenai hantu penanggal di Malaysia
Sebenarnya kajian yang lebih mendalam mengenai hantu penanggal masih belum dilakukan oleh mana-mana pihak tetapi kebanyakan kajian hanya berdasarkan penceritaan mengenai hantu mengikut sesuatu kaum.

Mengikut mereka yang lebih arif mengenai hantu penanggal, asalnya hantu penanggal ini adalah manusia biasa tetapi mereka mempunyai amalan-amalan tertentu yang masih misteri hingga kini yang mana pada waktu malam, kepala mereka akan bercerai dari tubuh badan dan kepala tersebut akan terbang berkeliaran untuk mencari mangsa untuk menghisap darah manusia.

Jika anda meneliti penceritaan dari mana-mana kaum di Negara ini, cerita mengenai misteri hantu penanggal hampir lebih kurang sama ini menjadikan kemungkinan hantu ini wujud di dunia yang nyata. Kajian penulis di negeri  Sabah mendapati, hantu penanggal ini dikenali sebagai hantu Balan-Balan, Tutumongos (dalam bahasa Dusun) dan dikenali juga sebagai B Kuasa Dua.
Gambar Hantu penanggal
Gambar Hiasan
Cerita mitos hantu penanggal kaum Kadazan Dusun
Mengikut cerita mitos kaum Kadazan Dusun, cerita hantu penanggal tercetus  dimana pada satu ketika dahulu terdapat individu yang mengamalkan amalan kebatinan dan pada waktu malam kepalannya akan bercerai dari tubuh badan serta  akan terbang mencari mangsa terutamanya perempuan yang baru melahirkan anak.

Cerita ini telah menjadi gempar apabila beberapa daerah di negeri  Sabah telah diserang oleh hantu Balan-Balan (hantu Penanggal) dan menurut cerita ramai yang telah menjadi mangsa akibat perbuatan oleh hantu penanggal ini. Pada satu ketika, orang ramai telah mengsyaki perbuatan tersebut telah dilakukan oleh individu yang mengamalkan ilmu kebatinan berdasarkan perilaku pelik yang ditunjukkan oleh individu tersebut.

Beberapa orang  yang mengetahui hal tersebut telah mengekori individu ini pada waktu malam dan menurut penceritaan oleh orang-orang tua di negeri ini, orang yang mengekori individu yang disyaki sebagai hantu penanggal melihat individu itu telah masuk ke dalam tandas di sebuah kampung  yang terpencil dan tandas tersebut  tidak lagi digunakan oleh orang ramai.

Mereka mendapati, apabila suspek masuk ke dalam tandas, mereka melihat sebiji kepala yang mengerikan telah terbang berserta cahaya aneh keluar dari tandas dan hilang dalam kegelapan malam. Apabila melihat hal tersebut, mereka yang melihat hal ini telah memanggil orang-orang kampung untuk membuka pintu tandas dan mereka mendapati hanya tubuh suspek tanpa kepala di dalam tandas.

Daripada ramai orang kampung tersebut, seorang individu telah mengesyorkan bahagian leher tanpa kepala harus diperah dengan air limau nipis untuk membuatkan kepala hantu penanggal tidak akan kembali lagi di badan individu tersebut. Orang kampung  telah memerah air limau nipis ke leher individu tersebut dan apabila kepala hantu penanggal datang untuk bersatu ke dalam tubuhnya, hantu tersebut tidak lagi boleh bersatu semula kerana disebabkan air perahan limau yang menyakitkan.
 .
Hal ini membuatkan, hantu penanggal akan berkeliaran tanpa tubuh badan sampai bila-bila dan hal yang amat ditakuti oleh hantu penanggal adalah pokok limau, buah limau dan air perahan limau. Jika anda datang ke Sabah dan melihat perempuan yang baru bersalin, kebanyakan mereka akan meletakkan buah limau atau ranting limau berserta dengan daunnya diletakkan berhampiran dengan bayi yang baru lahir dan juga mereka akan menyelitkan ranting limau berserta daun di sekeliling rumah mereka untuk mengelakkan dari gangguan hantu penanggal.

Pada zaman dahulu amalan ini adalah wajib dilakukan tetapi mengikut peredaran zaman, amalan ini hampir dilupakan oleh genarasi sekarang tetapi masih terdapat individu yang masih mengamalkan amalan ini setiap kali terdapat anggota keluarga wanita mereka bersalin. Perkara yang masih menjadi misteri hinggi kini, masih terdapat individu yang melihat cahaya yang terbang pada waktu malam melepasi pokok-pokok hutan atau di kawasan-kawasan bandar dimana mereka mengelarkan ia adalah B Kuasa Dua atau hantu penanggal yang berkeliaran untuk mencari mangsa.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Comments containing the active link, promotion, requesting a visit again, will not be displayed.