Home » » Pengalaman Hilangkan Pening Kepala Dengan Kunyit

Pengalaman Hilangkan Pening Kepala Dengan Kunyit

Pernahkah anda menggunakan kunyit untuk menghilangkan pening kepala? Beberapa hari yang lepas, saya mengalami sakit kepala yang agak teruk. Saya tidak mengetahui punca sebenar kenapa saya mengalami sakit kepala seperti ini sedangkan sebelum ini saya tidak pernah pun mengalami masalah sakit kepala yang agak teruk.

Sakit kepala yang saya alami agak pelik kerana, apa yang saya lihat melalui mata, penglihatan saya seolah-olah berpinar-pinar atau sesuatu yang saya lihat berpusing-pusing secara perlahan-lahan dan ini membuatkan saya merasa hendak pitam.

Semua yang saya lihat seolah-olah berpusing-pusing dan sebenarnya gejala yang saya alami datang dengan sekejap-sekejap dan hal ini agak menyeksakan diri saya serta segala aktiviti harian tidak dapat dilaksanakan sepanjang saya mengalami gejala seperti ini.

Segala-galanya bermula selepas saya meminta kawan untuk membelikan nascafe di sebuah kedai makan di bandar Labuan dan nescafe tersebut agak pekat dan pahit. Saya sebenarnya peminat setia minuman nascafe, hampir setiap hari saya meminum minuman ini tidak kira di rumah ataupun di kedai makan. Saya amat menyukai nescafe dari kedai mamak kerana nescafenya agak berlemak dan saya merasakan amat sedap dengan nescafe tersebut.

Huhu..Selepas meminum nascafe yang dibelikan oleh rakan tadi, penglihatan saya seolah-olah berpinar-pinar dan kepala terasa pening. Saya merasakan simptom ini biasa kerana meminum minuman yang mengandungi kafien yang agak kuat, walau begitu, simptom ini berterusan selama beberapa hari dan saya merasa amat seksa ketika mengalaminya.
Air Kunyit
Saya cuba datang di sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan tetapi doktor hanya memberikan ubat pening kepala. Ubat yang diberikan kepada saya adalah ubat PROCHLOR (Prochlorperazine Maleate BP 5mg Tablet) dan harus diambil satu biji selepas makan selama tiga kali sehari pada waktu pagi, tengahari dan pada waktu malam.

Menurut doktor yang merawat saya, simptom yang saya alami mempunyai banyak sebab antaranya tidur tidak mencukupi, pengambilan kafien yang berlebihan, terlalu lama menghadap komputer, telinga sakit, magrain, rabun mata, dan macam-macam lagi. Doktor yang merawat juga menasihatkan saya untuk meminum air masak dengan banyak, tidur mencukupi dan mengurangkan minuman berkafien.

Saya cuba mengambil ubat ini seperti dos yang ditetapkan oleh doktor dan hanya mengambil dalam sehari kerana apa yang saya alami, selepas saya mengambil ubat, kesan ubat hanya mampu bertahan dua hingga tiga jam sahaja dan penyakit yang saya alami, pening, penglihatan berpusing, hendak pitam akan datang semula.

Saya merasakan ubat ini kurang berkesan dengan penyakit yang saya alami dan saya mula berfikir saya harus mencari altenatif lain iaitu dengan cara rawatan herba dari tumbuh-tumbuhan. Saya menggunakan kunyit hidup untuk rawatan ini kerana ia mudah diperolehi di pasar dan juga kunyit hidup amat terkenal sebagai anti kanser, zat curcumin yang ada pada kunyit amat baik sebagai anti radang, dan menurut kajian-kajian yang dilakukan di United State, kunyit amat bagus untuk rawatan sakit kepala.

Saya mendapatkan beberapa ulas kunyit di pasar dan mengambil seulas kunyit sebesar ibu jari. Kunyit ini harus dibuka kulitnya terlebih dahulu dan ditumbuk sehingga lumat. Anda juga boleh menggunakan blender untuk menghancurkan kunyit ini.

Apabila selesai, saya akan letakkan pes kunyit ini ke dalam gelas dan isi gelas dengan air panas. Saya akan biarkan air panas menjadi suam dan minum air kunyit secara perlahan-lahan.

Amat menakjubkan, selepas 30 minit saya meminum air kunyit ini, penglihatan saya tidak lagi berpusing-pusing dan kembali secara normal. Sakit kepala yang menyeksakan selama beberapa hari juga telah hilang dalam hanya setengah jam.

Tidak ramai yang mengetahui kebaikan kunyit kepada kesihatan tubuh manusia. Orang ramai hanya mengetahui kunyit sebagai rempah untuk masakan. Saya meneruskan meminum air kunyit pada waktu pagi dan pada waktu malam sehingga sakit kepala saya benar-benar sembuh.

Ini adalah pengalaman, perkongsian penulis sendiri yang benar-benar terjadi dan bukan cerita yang direka-reka. Jika anda mengalami masalah yang sama, cubalah membuat ramuan air kunyit dan anda akan merasakan keajaiban dari kunyit ini.

Untuk pengetahuan anda, air kunyit ini agak kelat tetapi jika anda sukar untuk meminum air ini, anda mungkin boleh menambahkan sedikit madu untuk menghilangkan bau kunyit yang kuat. Semoga perkongsian ini bermanfaat.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Comments containing the active link, promotion, requesting a visit again, will not be displayed.