Home » » Cara Menaiki Bas Ekspress Dari Menumbok Ke Kota Kinabalu (KK)

Cara Menaiki Bas Ekspress Dari Menumbok Ke Kota Kinabalu (KK)

Bagaimana untuk menaiki bas ekspress dari Menumbok ke Kota Kinabalu? Sebenarnya ini adalah perkongsian pengalaman admin sendiri menaiki bas ekspress ke Kota Kinabalu daripada Menumbok. Mungkin perkongsian ini boleh dijadikan sebagai rujukan kepada individu yang tidak pernah menaiki bas di Menumbok.

Selalunya mereka yang ingin menaiki bas ekspress ini adalah individu daripada Pulau Labuan yang mana terdiri dari pelajar atau mereka yang berasal dari Semananjung atau penduduk Sabah dan Sarawak yang tidak pernah menaiki bas ke KK, kerana sebelum ini mereka menaiki kereta sendiri ke Daerah Menumbok atau ke Pulau Labuan.

Baik, jika anda dari Labuan dan hendak ke Kota Kinabalu melalui jalan daripada Menumbok, tentunya anda menaiki feri kenderaan atau bot ekspress ke Menumbok. Jika anda menaiki feri kenderaan (ro-ro), anda mempunyai masa anggaran lebih kurang sejam setengah untuk sampai ke terminal feri Menumbok Sabah. Manakala jika anda menaiki bot ekspress, anda hanya mengambil masa anggaran 15 minit ke 20 minit untuk sampai ke Menumbok.

Sebelum anda berkira-kira ke Kota Kinabalu, anda mesti mengatur masa anda sendiri supaya anda tidak perlu menunggu bas terlalu lama untuk ke KK. Sebaik anda sampai di jeti Menumbok, anda harus bergerak cepat ke terminal Bas Menumbok  untuk mendapatkan tiket bas ke KK kerana jika anda menaiki feri kenderaan, kebanyakan penumpang yang tidak menaiki kenderaan sendiri, akan menaiki bas ekspress ke Kota Kinabalu (KK), ini bermakna jika anda lambat mendapatkan tiket anda, kemungkinan anda akan kehabisan tiket dan terpaksa menunggu bas yang seterusnya.
Bas Menumbok Ke Kota Kinabalu
Melalui pemerhatian admin sendiri di terminal bas Menumbok, tiket bas boleh diperolehi melalui konduktor bas yang mengambil upah untuk mencari penumpang yang hendak ke KK, setakat artikel ini ditulis tambang bas ekspress ke Kota Kinabalu adalah RM18 ringgit seorang. Selain itu jika anda berada di Labuan, anda boleh mendapatkan tiket bas melalui kaunter tiket yang disediakan berhampiran dengan terminal feri kenderaan atau terminal feri Antarabangsa Labuan. Walau begitu, pastikan sebelum anda membeli tiket bas, di kaunter yang dinyatakan, pastikan anda membeli tiket bas yang 'Confirm seat reservations' atau sah tempat duduk dan bukan membeli tiket 'open' kerana, tiket jenis ini, anda terpaksa menunggu bas yang seterusnya jika bas tersebut telah pun penuh dengan penumpang.

Bagi admin sendiri, jika ke KK, admin selalu menggunakan perkhidmatan bas Menumbok Ekspress yang berwarna merah dimana waktu operasi bas mereka ke KK bermula jam 08.30am, 09.30am, 12.30pm, 01.30pm, 03.30pm setiap hari. Pada waktu sekolah ataupun cuti umum, jadual tambahan mereka pada jam 11.30am dan 04.00pm. Untuk jadual jam 08.30am, kemungkinan bas akan bergerak seawal jam 08.00am jika bas telah pun penuh dengan penumpang. Untuk keterangan lanjut mengenai jadual ini atau mungkin terdapat perubahan jadual, anda boleh menghubungi pengurusan Menumbok Ekspress di kaunter Menumbok di talian 016-8454548.

Jadual yang dinyatakan diatas adalah jadual bagi bas Menumbok Ekspress sahaja kerana admin menulis hanya berdasarkan pengalaman menaiki bas dengan Menumbok Ekspress. Sebenarnya masih terdapat beberapa buah bas dari syarikat lain seperti Tung Ma, Borneo Ekspress dan Sipitang Ekspress tetapi admin tidak mengetahui masa sebenar pergerakan bas ini. Selain itu, anda boleh menggunakan perkhidmatan teksi jenis kereta Toyota Unser di kawasan Terminal Bas Menumbok, yang menariknya, teksi ini memberi perkhidmatan penghantaran ke seluruh Sabah, walau begitu, anda haruslah berunding dengan pemandu teksi berkenaan tentang kos penghantaran di sekitar  negeri Sabah terlebih dahulu. Sekian perkongsian ini, semoga bermanfaat.




Comments containing the active link, promotion, requesting a visit again, will not be displayed.