Home » » Rahsia Bunga Atau Tanaman Halaman Rumah Hidup Subur

Rahsia Bunga Atau Tanaman Halaman Rumah Hidup Subur

Saya ingin berkongsi kepada anda satu rahsia bagaimana menjadikan bunga atau tanaman di halaman rumah hidup subur tanpa menggunakan apa-apa baja khas.

Sebenarnya idea ini daripada ibu saya sendiri dan saya melihat keberkesanannya dari mata saya sendiri. Maksud saya disini, bunga yang ditanam di pasu, tanaman di halaman rumah perlu diberikan makanan yang sesuai selain dari air biasa.

Rahsia bunga dan tanaman di halaman rumah hidup subur
Saya mengetahui rahsia ini beberapa tahun yang lepas semasa ibu saya melawat kediaman saya di Kuantan Pahang.

Saya mempunyai beberapa jenis bunga yang ditanam di pasu dan sedikit bunga yang ditanam terus ditanah di halaman.

Bunga-bunga ini sebenarnya saya sirami dengan air setiap hari tetapi, keadaan pokok-pokok bunga ini seolah-olah seperti pepatah melayu, ''hidup segan mati tak mahu''.

Bunga ini tak mahu hidup subur dan daunnya jatuh luruh, hal ini membuatkan saya membeli sejenis baja khas untuk tanaman bunga tetapi ianya tidak mendatangkan hasil.

Apabila ibu saya datang melawat dan tinggal di kediaman saya anggaran setahun lebih, bunga-bunga yang saya tanam telah menjadi amat subur dan hal ini membuatkan saya merasa heran kerana ibu saya tidak memberikan apa-apa baja keatas bunga tersebut.

Perkara ini membuatkan saya merasa tertanya-tanya kerana sebelum ini saya menggunakan pelbagai cara untuk menjadikan pokok-pokok bunga ini hidup subur tetapi ianya tidak berhasil.

Bunga Raya
Satu hari, saya bertanya kepada ibu saya mengenai rahsia yang menyebabkan pokok-pokok bunga di halaman rumah hidup menjadi subur. Ibu saya mengatakan, dia tidak mempunyai apa-apa rahsia, dia hanya menyiram pokok bunga ini dengan air basuhan beras pada waktu, setiap pagi dan petang.

Dia mengatakan, air basuhan beras mengandungi kanji yang diperlukan oleh tumbuhan untuk dijadikan makanan atau baja. Ini membuatkan tanaman pokok bunga telah menjadi amat subur.

Setiap kali memasak nasi, ibu saya akan menyimpan air basuhan beras ke dalam bekas yang disediakan dan akan menyirami pokok-pokok bunga pada waktu pagi dan petang.

Menurut ibu saya, setiap pasu bunga hanya diberikan sedikit air basuhan beras dalam aggaran satu cawan  ke pokok bunga tersebut pada waktu pagi dan waktu petang. Menyirami pokok-pokok bunga ini perlu dilakukan setiap hari dengan secara rutin dan anda akan lihat hasil yang memuaskan.

Beberapa bulan yang lepas, seorang kawan saya bercerita kepada saya mengenai isterinya menanam sayur di tapak semaian yang dibuat di halaman rumah tetapi kerana cuaca di Pulau Labuan amat panas, sayur-sayur yang ditanam oleh isterinya telah menjadi layu dan hidup dalam keadaan tidak subur.

Saya menceritakan tips ini kepada kawan saya dan dia telah menyampaikan tips ini kepada isterinya. Semenjak dari hari itu, isterinya telah menyirami sayuran dengan air basuhan beras setiap hari dan sungguh menakjubkan sayur-sayuran tersebut telah hidup dengan amat subur.

Tips ini amat sesuai kepada mereka yang mempunyai tanaman bunga di halaman rumah, tanaman bunga di pasu atau sayur-sayuran dengan anggaran jumlah tanaman yang sedikit. Saya pasti, pokok bunga atau sayur-sayuran yang anda tanam akan hidup dengan subur.

Saya mengetahui, hanya ibu-ibu yang berada di kampung sahaja mengetahui rahsia ini, kerana tips ini sebenarnya rahsia turun temurun dari dahulu lagi dan disampaikan dari genarasi ke genarasi. Saya berharap tips ini bermanfaat kepada anda dan semoga jumpa lagi.






Comments containing the active link, promotion, requesting a visit again, will not be displayed.