Home » » Cara Menanam Halia Di Tambunan Sabah

Cara Menanam Halia Di Tambunan Sabah

Daerah Tambunan adalah pengeluar tanaman halia yang terbesar di negeri Sabah di mana kebanyakan pembeli akan tertumpu di daerah ini untuk mendapatkan bekalan halia.

Cara menanam halia di daerah ini agak berbeza dengan negeri lain kerana, cara penanaman yang dilakukan oleh penduduk masih menggunakan cara tradisional dengan amalan bergotong royong untuk membuka ladang halia masing-masing.

Pada asalnya, penanaman halia di daerah ini dimulakan oleh seorang penduduk di Kg Tikolod Tambunan bernama Encik Supilin. Beberapa tahun dahulu, beliau menjadi popular di negeri ini apabila namanya telah menjadi sebutan apabila wartawan akhabar di negeri ini telah melakukan penulisan mengenai dirinya yang telah menjadi jutawan pengusaha halia di daerah Tambunan. 

pokok halia
Tanaman Halia

Saya mengakui kebenaran cerita ini apabila melawat kampung tersebut dan mendapati Encik Supilin memiliki beberapa buah jentolak dan beberapa biji lori di halaman rumahnya. Pada masa ini, beliau tidak lagi mengusahkan tanaman halia tetapi menjadi pembeli tanaman halia di daerah ini untuk dikomersialkan.

Apabila beliau telah hangat diperkatakan di daerah ini, barulah penduduk di daerah ini ikut serta untuk menanam halia hinggakan daerah ini menjadi pengeluar utama penanaman halia di negeri Sabah.

Proses buka tanah untuk menanam halia di daerah Tambunan Sabah
Penduduk di daerah ini kebanyakannya adalah berbangsa Dusun dan memiliki tanah yang luas. Mereka bebas mengusahakan tanah mereka untuk menanam tanaman halia. Abang saya sendiri mengusahakan tanaman ini dan hasil yang diperolehinya cukup lumayan.

Melalui pemerhatian saya, untuk bermula untuk mengusahakan tanaman ladang halia, penduduk akan bergotong royong untuk membuka tanah dengan bermula dengan melakukan penebangan anak-anak kayu terlebih dahulu dan selepas anggaran seminggu, barulah mereka akan menebang kayu yang bersaiz besar.

Penduduk yang terlibat untuk menebang pokok adalah terdiri dari kaum lelaki dengan menggunakan mesin penembang pokok iaitu Chain Saw.

Proses penebangan pokok-pokok memerlukan masa dalam sehari dan selepas pokok-pokok tumbang, mereka akan memotong ranting-ranting pokok untuk memudahkan proses pembakaran yang akan dilakukan anggaran seminggu selepas itu.

Selepas seminggu kemudian, pemilik ladang akan memastikan ranting dan daun yang ditebang telah pun kering. Apabila ianya telah kering, pemilik ladanga akan melakukan pembakaran keatas pokok yang telah ditebang.

Apabila proses ini selesai, pemilik ladang akan membersihkan ladang dengan membuang ranting-ranting kayu yang tidak terbakar. Proses pembersihan memerlukan masa dalam sehari hingga dua hari. Bila pemilik ladang selesai membersihkan ladang mereka, proses untuk memotong benih halia akan bermula.

Proses memotong halia tua untuk dijadikan sebagai benih halia
Di Sabah benih halia dikenali sebagai bibit, bibit ini digunakan untuk proses menanam halia di ladang.

Baik, selepas pembersihan ladang telah dilakukan, kaum perempuan terutamanya, akan memotong halia yang telah tua menjadi beberapa bahagian. Cara memotong halia ini adalah dengan melihat bahagian halia yang mungkin akan mengeluarkan tunas.

Proses ini memerlukan masa dalam setengah hari atau sehari untuk untuk menghasilkan benih halia yang akan ditanam di ladang. Selepas memotong halia untuk dijadikan sebagai benih, halia yang telah dipotong akan dimasukkan semula ke dalam karung atau plastik untuk dibawah ke ladang untuk proses penanaman.

Bergotong-royong untuk menanam halia
Apabila benih halia telah disediakan, pemilik ladang akan menentukan tarikh untuk menanam halia dan apabila sampainya tarikh menanam halia, kebanyakan penduduk di kampung tersebut akan datang secara beramai-ramai untuk membantu pemilik ladang untuk menanam halia.

Cara mereka menanam halia adalah dengan menggunakan pengorek khas yang diperbuat dari besi paip. Dengan mengunakan pengorek ini, mereka akan menanam benih halia anggaran selang sekaki dengan benih halia yang lain.

Masa untuk menanam halia mengambil masa dalam setengah hari hingga sehari bergantung kepada keluasan ladang. Pemilik ladang akan menanggung sepenuhnya makan dan minum penduduk yang datang membantu untuk menanam halia.

Proses untuk meracun Rumpai
Apabila penanaman keseluruhan ladang dengan benih halia selesai, pemilik ladang akan membiarkan tanaman tersebut selama beberapa minggu sebelum melakukan proses meracun rumpai akan dilakukan.

Proses ini dilakukan anggaran dua hingga tiga kali bergantung kepada cepatnya rumpai tumbuh diantara dengan rizom halia. Proses dilakukan secara bersendirian, menggunakan pekerja atau pun dengan secara bergotong royong.

Menuai hasil tanaman halia
Ketika halia berusia diantara 8 hingga 9 bulan, penduduk yang memiliki ladang halia akan mnegeluarkan hasil tanaman mereka. Pegeluaran hasil tanaman dilakukan secara bersendirian atau dengan secara bergotong royong.

Kadang-kadang mereka akan mengeluarkan hasil seawal 6 atau 7 bulan usia halia jika permintaan yang tinggi dari peraih dan harga yang ditawarkan juga tinggi. Proses pengeluaran halia dimulakan dengan mengorek dan seterusnya mencuci halia dengan air, membuang akar, dan mengasingkan rizom agar kelihatan bersih.

Selepas proses ini, peladang halia akan memasukan halia ke dalam plastik dalam anggaran berat 25kg hngga 30kg bagi setiap plastik.

Setiap kali proses pengeluaran dilakukan mengambil masa dalam 3 hingga 5 hari dan peraih akan datang sendiri untuk membeli hasil halia ini. Harga untuk pengeluar halia bagi setiap kilo halia memiliki harga yang tidak tetap bergantung kepada harga pasaran dan permintaan pasaran. Kadang-kadang harga bagi sekilo halia matang hanya berharga RM2 sekilo dan kadang-kadang boleh mencapai sehingga RM7 sekilo. Walau begitu, harga halia yang dijual di pasaran seperti di pasaraya, mampu mencapai harga sehingga RM10 sekilo.

Di daerah Tambunan, peladang-peladang akan mengeluarkan hasil halia hanya setahun sekali tetapi kerana banyaknya peladang yang membuka ladang tanaman halia, bekalan halia mudah diperolehi di daerah ini sepanjang tahun.

Proses mengenal pasti tanah baik untuk halia
Tanah yang baik untuk halia adalah tanah yang berbukit, agak berbatu dan tanah yang lembab. Halia akan tumbuh dengan amat subur walaupun tanpa menggunakan baja.

Apabila tanaman halia subur, setiap benih halia akan menghasilkan halia seberat 1kilo lebih dan ini sudah tentunya akan menguntungkan peladang kerana memperolehi keuntungan berlipat kali ganda. Setiap peladang akan membuka dua hingga tiga kawasan tanah untuk dijadikan ladang tanaman halia.

Selepas membuka ladang pertama dan telah selesai mengeluarkan hasil tanaman di tanah yang pertama, peladang seterusnya akan membuka kawasan tanah yang baru untuk dijadikan sebagai ladang halia.

Peladang akan mengeluarkan hasil tanaman ini dalam selepas 8 hingga 9 bulan, mereka akan membuka kawasan penanaman halia yang ketiga dan akan balik semula untuk menanam halia di tanah yang pertama. Proses pusingan ini akan dilakukan secara berulang-ulang kali dan sebagai cara untuk menjamin kualiti kesuburan halia tersebut.
halia
Halia Matang/Tua
 Kesimpulan
Pertanian berasaskan tanaman halia sebenarnya amat menguntungkan dan sebagai lubuk duit bagi kebanyakan petani atau peladang yang mengusahakan tanaman ini. Ini telah dibuktikan dengan lahirnya jutawan halia di Daerah Tambunan dimana pada asalnya beliau hanya petani biasa yang mengusahkan tanaman ini.

Tetapi kerana kesungguhan beliau, segala usaha yang dilakukanya telah membuahkan hasil dan antara jutawan yang pertama di daerah ini dengan hanya mengusahakan pertanian halia sebagai pelaburannya. Artikel ini ditulis berdasarkan pengalaman sendiri penulis bagaimana halia diusahakan di daerah ini.






Comments containing the active link, promotion, requesting a visit again, will not be displayed.