Home » » Bahaya Ilmu Pengasih Minyak Kayu Balabak

Bahaya Ilmu Pengasih Minyak Kayu Balabak

Kayu Balabak amat dikenali di kepulauan Balabac Philipina dan kepulauan Bangi, Sabah sebagai bahan untuk membuat ilmu pengasih dari minyak kayu Balabak.

Seperti anda tahu, kebanyakan pengamal akan menggunakan minyak kayu Balabak untuk tujuan dijadikan sebagai minyak kayu pengasih. Apakah kegunaan minyak pengasih?

Baik, menurut kajian saya, minyak pengasih dijadikan oleh orang-orang tertentu sebagai, seri muka, pelaris perniagaan, membawa rezeki, ilmu penunduk, dan sebagai cara untuk memikat wanita yang disukai.

Minyak pengasih memiliki banyak jenis mengikut geografi, adat, dan kebudayaan sesuatu bangsa. Jika di Sabah, minyak pengasih dikenali sebagai 'Pugai' dimana ianya terkenal sebagai ilmu untuk memikat wanita.

Sebelum menceritakan bahayanya ilmu pengasih kayu Balabak, saya cuba menerangkan misteri minyak pengasih yang setakat saya ketahui.
Minyak Pengasih
Minyak Pengasih Kayu Belabak

Jika di Semenanjung, minyak pengasih yang terkenal adalah minyak dari suku kaum Asli iaitu minyak Cenuai. Minyak ini sukar untuk diperolehi kerana hanya kaum orang Asli sahaja yang mengenali pokok ini.

Selain itu, kaum Melayu juga memiliki warisan minyak kayu pengasih dari pokok yang dikenali sebagai Bulu Perindu, walau begitu minyak ini juga amat sukar untuk diperolehi kerana pokok ini berada di hutan belantara dan hanya orang-orang tertentu sahaja yang mengenali pokok ini.

Semasa saya tinggal di negeri Pantai Timur, seorang kawan Melayu pernah menunjukkan rupa bentuk Bulu Perindu yang ditanamnya di dalam pasu kepada saya. Melalui pengamatan saya, ianya seperti buluh biasa tetapi hanya sehalus seperti lidih kelapa. Walaubegitu, saya tidak mengetahui adakah ianya benar atau sebaliknya.

Terdapat ilmu pengasih dengan hanya menggunakan ayat tertentu sahaja, ianya sebenarnya lebih kepada sihir kerana dengan menggunakan beberapa ayat tertentu, individu yang menggunakan ilmu ini mampu memikat hati perempuan yang disukainya.

Ilmu pengasih dengan menggunakan asap rokok pula, digabungkan dengan ayat sihir untuk memikat wanita. Jika dilihat melalui suku-suku kaum di Nusantara, terdapat pelbagai jenis ilmu pengasih yang anda. Bagi pandangan penulis, sains tidak dapat merungkai misteri ini kerana ianya adalah dari unsur mistik dan sukar dijelaskan dengan pemikiran normal.

Minyak pengasih yang kelihatan menakutkan adalah minyak Dagu kerana dikatakan minyak ini berasal dari mayat yang dikeringkan dan minyak yang keluar dari dagu si mati akan dijadikan sebagai minyak pengasih.

Baik saya memiliki cerita benar tentang penangan minyak Dagu. Saya mempunyai kenalan perempuan di daerah saya pada satu ketika dahulu, perempuan ini seorang yang agak cantik dan bekerja sebagai kerani di sebuah sekolah rendah.

Satu hari, dia telah bercinta dengan seorang lelaki yang menurut pandangan saya lelaki ini agak kurang 'handsome' atau kurang tampan berbanding dengan lelaki normal lain kerana, hidung lelaki ini kemek dan lebar, selain itu lelaki ini juga tidak memiliki beberapa gigi di hadapan dan bekerja sebagai tukang kebun.

Apa yang agak melucukan, mereka bercinta kelihatan amat intim hinggakan kadang-kadang mereka bergurau sambil berlari dan kejar-mengejardi halaman rumah seolah-olah seperti filem Hindustan.

Keluarga di sebelah perempuan merasa pelik dan merasakan terdapat sesuatu perkara yang tidak kena keatas saudara perempuan mereka ini. Ini kerana ibubapa perempuan ini tidak bersetuju dengan pilihan anak mereka dan telah menasihati anak mereka berulang kali tetapi perempuan ini berkeras dan mengatakan ingin berkhawin dengan lelaki ini.

Satu hari, ibu bapa perempuan ini telah membawa untuk berjumpa dengan seseorang yang memiliki kepandaian untuk rawatan dalam hal-hal mistik. Seperti yang telah diduga, menurut individu yang merawat perempuan ini, anak mereka telah terkena ilmu pengasih minyak Dagu dan harus dirawat dengan segera.

Seisi rawatan mengambil masa beberapa hari dan sehinggalah hubungan perempuan dengan tukang kebun telah putus kerana minda dan penglihatan perempuan ini telah terbuka dan menyedari dirinya telah bercinta dengan orang yang tidak sepatutnya. Perempun ini merasa amat benci dengan tukang kebun selepas dengan kejadian tersebut.

Ini adalah perkongsian mengenai penangan minyak Dagu yang amat merbahaya kepada golongan terutamanya wanita.

Baik, berbalik kepada cerita mengenai bahayanya ilmu pengasih kayu Balabak kepada pengamalnya, Kayu Balabak juga memiliki bahaya yang tersendiri kerana, kayu ini tidak boleh dibawah keluar dari pulau Balabac kerana jika anda membawa keluar kayu ini, akan terjadinya ribut, petir dan sebagainya.

Menurut cerita dari kaum Molbog, jika anda membawa keluar kayu balabak dari pulau tersebut, akan berlakunya ribut, dan pelbagai musibah yang berlaku keatas diri anda.

Oleh itu, untuk langkah yang selamat, kebanyakan orang yang membawa keluar minyak pengasih dari pulau tersebut adalah dengan hanya membawa minyak dari kayu Balabak itu sahaja.

Beberapa bulan yang lalu, saya telah bercerita mengenai minyak ini kepada kawan saya yang berbangsa Molbog dan berasal dari kepulauan Balabac itu sendiri tetapi telah berhijrah di Pulau Bangi Sabah.

Menurut kawan saya, si pemakai minyak pengasih balabak mampu menawan sesiapa sahaja wanita yang  disukainya dengan hanya mencalitkan sedikit minyak di tangan dan harus meletakkan minyak tersebut ke mana-mana bahagian badan wanita.

Keampuhan minyak boleh dilihat selepas  beberapa minit sahaja selepas wanita tersebut terkena  minyak balabak. Sebenarnya, orang yang memiliki minyak Pengasih yang asli tidak akan mengatakan sesiapa pun dia memiliki minyak ini

Wanita yang terkena  minyak ini seperti  seolah-olah  dipukau  dan melihat  lelaki  yang memiliki minyak ini amat rupawan dan pada  masa yang  sama, dia akan  jatuh  cinta  dengan  lelaki  tersebut.

Wanita ini akan hilang  arah tujuan, merasa bingung, dan  tidak  mengetahui  mengapa  dia sukakan lelaki  tersebut. Perempuan ini akan menangis-nangis dan akan merayu akan mengikuti anda sehingga sanggup diperlakukan apa sahaja.

Walaupun begitu, kehebatan minyak pengasih Kayu Balabak tidak akan bertahan lama dari segi nasib anda kerana, menurut kawan saya, walaupun anda mampu memikat sesiapa sahaja wanita, nasib anda akan mengalami sial atau nasib malang kerana, rezeki dari segi wang dan apa sahaja pekerjaan anda tidak akan menyebelahi anda.

Saya sebenarnya tidak mengetahui kebenaran-kebenaran ini tetapi hanya memperolehi cerita dari mulut kawan saya yang berasal di kepulauan Balabac Philipina dimana asalnya kayu Balabak ini.

Kesimpulannya, menurut pemahaman saya, penggunaan minyak pengasih tidak mendatangkan banyak kebaikan tetapi hanya mendatangkan keburukan kepada anda dimasa akan datang.

Artikel ini ditulis berdasarkan pengalaman dan penceritaan dari masyarakat sekililing. Artikel ini juga hanya sebagai pengetahuan anda untuk perkongsian bersama.






1 comments:

Bagaimana blh sya dptkn mnyak kayu balabac ini..01138081038.

Comments containing the active link, promotion, requesting a visit again, will not be displayed.