Home » » Bagaimana Mengusahakan Tanah Yang memiliki Geran

Bagaimana Mengusahakan Tanah Yang memiliki Geran

Beberapa bulan yang lepas, saya telah mengunjungi Agro bank di Labuan untuk tujuan meminta nasihat bagaimana untuk mendapatkan pinjaman untuk pertanian. Saya memiliki tanah dalam beberapa ekar di kampung halaman dan saya berhasrat untuk mengusahakan tanah tersebut dengan bantuan pihak bank.

Keadaan tanah saya adalah tanah rata dan saya memikirkan untuk mengusahakan kolam untuk penternakan ikan talapia dan saya merancang untuk membina kolam di keseluruhan tanah tersebut.

Walau begitu, kos ini memerlukan sumber kewangan yang besar bagi menjayakan projek ini. Seorang kawan saya memberi cadangan untuk meminta nasihat dari Agro bank kerana, bank ini menyediakan pinjaman untuk usahawan pertanian.
Ladang Subur

Apabila saya berjumpa dengan pihak Agro bank, nasihat dari mereka adalah tanah yang kita usahakan tersebut mesti memiliki geran. Ini bermakna, jika anda memiliki tanah yang bergeran, anda boleh memohon untuk mengusahakan tanah anda dengan beberapa syarat lagi yang ditetapkan oleh pihak bank.

Sekiranya anda tidak memiliki tanah yang memiliki geran misalnya tanah berstatus hanya geran L.A, anda tidak akan layak untuk memohon untuk mendapatkan pinjaman pertanian.

Sebenarnya syarat ini agak ketat kerana bukan semua rakyat di Malaysia memiliki geran tanah dan kebanyakan tanah yang dipohon penduduk peribumi selalunya masih tidak memiliki geran dan hanya memiliki tanah yang berstatus L.A, (Permohonan untuk memiliki tanah).

Jika tanah anda memiliki geran dan ingin memohon pinjaman bank untuk memajukan projek anda, anda mestilah telah memulakan projek di tanah anda, misalnya, anda ingin mengusahkan projek penternakan ayam, sekurang-kurangnya projek penternakan ayam ini telah anda usahakan selama beberapa bulan sebelum melakukan permohonan dengan pihak bank.

Jika anda ingin mengusahkan tanah, bagaimana anda meyakinkan pihak bank sekiranya anda belum melakukan apa-apa lagi projek keatas tanah anda?

Perkara seterusnya adalah, sekiranya anda telah memang mengusahkan projek di tanah anda, buat satu kertas kerja mengenai projek anda dan rancangan anda untuk memajukan projek keatas tanah anda.

Hal ini penting untuk pihak bank menilai semula permohonan anda. Sekiranya perlu, kertas kerja ini mesti memperolehi sokongan dan tandatangan dari orang yang berpengaruh misalnya sokongan dari pihak ketua kampung, wakil rakyat, ketua daerah, dan sebagainya.

Ini untuk bertujuan untuk menguatkan permohonan anda. Apabila kertas kerja anda telah siap, anda boleh menghantar permohonan anda kepada pihak Agro bank yang sebelum ini dipanggil sebagai bank pertanian.

Menurut pihak bank, permohonan anda akan diteliti di bahagian peringkat atasan AgroBank dan mengambil beberapa masa tertentu sebelum memberikan kata putus, permohonan lulus ataupun sebaliknya.

Sekiranya permohonan pinjaman anda telah diluluskan, anda tidak boleh mengeluarkan sewenang-wenangnya wang pinjaman anda kerana pihak dari Agro bank akan memantau projek anda dan akan menghantar wakil dari bank untuk memantau dan melihat sendiri perkembangan projek anda sehinggalah projek anda berjaya.

Bagaimana? Andakah anda bersemangat untuk mengusahkan tanah anda selepas membaca penerangan ini? Artikel ini tidak menerangkan secara teliti mengenai pinjaman usahawan tani tetapi hanya menerangkan secara asas sahaja sebagai pengetahuan anda kerana syarat yang ditetapkan oleh pihak bank boleh berubah mengikut keperluan semasa. 

Sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pinjaman untuk usahawan tani, anda boleh datang di mana-mana Agro bank yang berdekatan untuk pertanyaan lebih lanjut dan saya percaya pihak mereka akan membantu anda.






Comments containing the active link, promotion, requesting a visit again, will not be displayed.